Temoleh yang turut dikenali sebagai temelian, adalah satu-satunya
spesies kap tempatan terbesar (Cyprinidae) yang boleh mencapai saiz
gergasi iaitu sehingga 60kg. Mungkin kerana saiznya yang 'bagak'
menyebabkan ia hanya ditemui di sungai yang lebar, panjang dan dalam
seperti Sg. Perak dan Sg. Pahang.
Gergasi Pemalu
Temoleh
dikatakan pejuang yang tak mengenal erti kalah sekiranya terpedaya
dengan helah pancingan anda. Mungkin pertarungannya sehebat mahseer di
Sg. Cauvery, India tetapi yang nyata lariannya bisa memberi tentangan
sengit, jangan harap dan terlalu yakin temoleh gergasi yang sedang
'mengamuk' di hujung tali anda mampu ditumbangkan dengan mudah.
Berbekalkan tenaga dan saiznya yang besar, ia sudah cukup
menggerunkan pemancing bertuah untuk bertarung, tentunya beratus meter
tali dibawa lari apatah lagi di dalam sungai yang mengalir agak laju
seperti di Sg. Tembeling dan bahagian Sg. Perak di daerah Kuala
Kangsar, kawasan yang dilaporkan banyak terdapat spesies ini. Oleh itu,
anda perlu bersiap-sedia dengan peralatan pancing aksi berat ataupun
sederhana berat dengan tali berketahanan sekurang-kurangnya 25 paun.
Profil mulutnya yang menjulur keluar (seperti lee koh dan
kelah) menunjukkan sifatnya yang 'pemalu' dan suka menyelongkar makanan
di dasar, jadi ia amat berhati-hati meneIan umpan anda. Ini mungkin
salah satu sebab mengapa ikan ini amat sukar dipancing di samping
populasinya yang semakin berkurangan. Apabila tiba musim mengawan
(biasanya pada masa musim tengkujuh), ikan ini akan mudik ke hulu sungai
yang cetek untuk mengempas telur. Bahagian belakang badan temoleh
kadang-kala boleh dilihat timbul di permukaan air sewaktu perarakan ikan
ini ke hulu malah ia turut dikatakan 'bertempur' sesama sendiri
sehingga boleh didengari penduduk kampung di tepi sungai.
Santapan
Antara umpan yang diketahui mampu membuka seleranya ialah
siput gendong (siput bulat yang besar yang biasa terdapat di tepi
sungai), cacing, udang gantung, udang galah kecil, buah pisang dan betik
tetapi ia perlu disangkutkan dengan jumlah yang banyak contohnya
menggumpalkan sejumlah besar cacing ataupun mencucuk beberapa hirisan
pisang tua seperti satay sehingga menutupi mata kail.
Saya pernah mendengar satu teknik yang sangat unik untuk
menjerat temoleh di daerah Kuala Kangsar. Pemancing tempatan di sana
menggunakan lampu suluh yang berkuasa dinamo (supaya tenaga cahaya dapat
bertahan lama) untuk menyuluh di satu bahagian sungai lalu melemparkan
umpan pisang tua ke arah tempat yang disuluh. Agaknya, cahaya yang kuat
tersebut menarik perhatian temoleh untuk 'menjenguk' dan umpan yang
jatuh terus ditelannya seolah-olah 'disuap' tanpa usul periksa.
Sesungguhnya menduga temoleh bukanlah suatu perkara yang
mudah, tahap kesabaran yang tinggi adalah kunci terbaik menunggu sang
gergasi ini meragut umpan anda. Kemudian bersedialah menghadapi larian
marathonnya, sekiranya dapat dijinakkan setelah berjam lamanya bertahan,
anda pastinya akan berbangga seumur hidup. Seterusnya beraksilah di
depan kamera untuk bergambar kenangan serta pelepasan semula dan jangan
lupa kirimkan kepada kami.